Tafsir Nur al-Ihsan 

Di bumi Nusantara terdapat banyak karya klasik dan moden dalam lapangan tafsir yang ditulis oleh mufassir-mufassir tempatan yang terkenal. Sejarah perkembangan pesat tafsir di Nusantara terjadi pada abad ke-16 hingga abad ke-19. Sebagaimana di Timur Tengah, masing-masing mufassir di Nusantara juga mempunyai konsep metode dan corak penafsiran. Walau karya-karya tafsir di Nusantara bersumber dari karya-karya tafsir dari Timur Tengah, para mufassir di rantau Nusantara tetap menerapkan corak penafsiran yang sesuai dengan lingkungan dan masa di rantau tersebut. Di antara karya tafsir yang mempunyai nilai tinggi ialah “Tarjumân al-Mustafîd” yang dikenali sebagai “Tafsir Baydawi” oleh Abd al-Rauf Singkel yang merupakan tafsir pertama terlengkap bahasa Melayu (kuno) tertua di Nusantara.

Namun di Tanah Melayu terdapat banyak karya klasik dalam bidang tafsir yang dikarang oleh mufassir-mufassir tempatan. Kebanyakan karya tafsir al-Qur`an di rantau ini ditulis secara tidak melengkapi sebuah mushaf al-Qur`an, iaitu penafsiran yang tidak melengkapi 30 juz al-Qur`an bermula dari surat al-Fatihah hingga al-Nas. Masing-masing mufassir melahirkan karya mereka tersendiri seperti Dato’ Haji Muhammad Nor Bin Ibrahim melahirkan karyanya Ramuan Rapi Dari Erti Surah al-Kahfi dan Syed Syiekh al-Hadi melahirkan karyanya Tafsir Surah al-Fatihah.

Maka Tafsîr Nûr al-Ihsân karya Tuan Haji Muhammad Said Bin Umar merupakan karya tafsir bahasa Melayu terawal yang melengkapi 30 juz yang dihasilkan di Malaysia. Kemunculan karya tafsir ini merupakan sinar baru untuk bidang tafsir di Malaysia dan mata rantai yang meneruskan jalur sejarah tafsir al-Qur`an di Semenanjung Tanah Melayu setelah melalui zaman kegelapan selama 3 abad yaitu bermula dari abad ke-17 lagi hingga abad ke-19 Masihi. Bidang tafsir di Malaysia diwarnai dengan pembabitan beberapa tokoh ulama` tempatan, terdapat tulisan-tulisan yang dihasilkan tetapi tidak dicetak. Oleh karena karya-karya tersebut tidak dicetak, kebanyakannya telah hilang dan tidak ditemukan manuskripnya.

Tokoh yang pertama melibatkan diri dalam bidang tafsir ini adalah Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis dengan menyalin Tarjumân al-Mustafîd karya Abdul Rauf al-Singkeli, yang merupakan karya tafsir pertama yang dihasilkan di Nusantara. Beliau melakukan demikian untuk mengajarkannya kepada masyarakat Melayu yang berada di Semenanjung Tanah Melayu terutama di Terengganu, beliau turut membuka sebuah pondok untuk pengajian Islam yang berdasarkan sistem pengajian pondok yaitu Pondok Pulau Manis. Usahanya telah diberkati Allah, beliau berjaya melahirkan ramai murid melalui insitusi pengajian pondok tersebut. Namun apa yang menyedihkan ialah bahawa manuskrip salinan karya itu telah hilang.

Usaha kedua dilakukan untuk menulis karya tafsir oleh sekelompok penafsir yang diketuai oleh Mohamad Yusof Ahmad atau Tok Kenali, dengan menterjemahkan karya-karya ulama’ tafsir konservatif seperti Tafsir al-Khâzin dan Tafsîr Ibn Kathîr. Karya-karya ini belum disiapkan penulisannya dan masih tidak berkesempatan dicetak. Manuskrip karya-karya ini juga hilang seperti hilangnya karya-karya sebelumnya.

Kemunculan Tafsîr Nûr al-Ihsân telah membuka pintu harapan baru bagi perkembangan bidang tafsir di Malaysia. Jejak Tuan Haji Muhammad Said telah diikuti oleh beberapa penafsir lain seperti Syed Syeikh al-Hadi, Haji Osman Muhammad, Syeikh Abu Bakar al-Asha’ari, Maulana Abdullah Nuh dan lain-lain penafsir. Di samping itu, terdapat juga usaha yang dilakukan untuk menerjemah kitab tafsir arab seperti yang telah dilakukan oleh Dato’ Yusoff Zaky Yacob yang terkenal dengan karya terjemahannya Tafsir Fi Zilal al-Qur`an – Di Bawah Bayangan al-Qur`an. Sejak dari ketika itu, ada beberapa pihak yang memberi perhatian dalam memelihara ilmu tafsir dengan menulis semula kuliah-kuliah tafsir yang disampaikan oleh tokoh-tokoh tafsir seperti Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang. Terdapat juga penafsir-penafsir yang menyumbangkan dan menyampaikan pemikiran mereka dalam ilmu ini melalui tafsiran maudhu’i dan tafsiran terhadap beberapa surat al-Qur`an, di antara mereka ialah al-Qari Haji Salleh, Abi Lukman, dan Abu Zaki Fadzil.

Tafsîr Nûr al-Ihsân merupakan karya pertama Tuan Haji Muhammad Said Umar dan karya tafsir pertama yang melengkapi 30 juz al-Qur`an, yang telah dihasilkan pada abad ke-20 iaitu pada tahun 1934M bersamaan tahun 1346H. Ia ditulis dalam empat jilid atau tersebut sebagai penggal, merupakan karya tafsir tahlîli yang ringkas dalam bahasa Melayu dengan tulisan Arab-Melayu dan digunakan secara meluas di pondok-pondok pengajian di Kedah. Berdasarkan catitan pengarang pada penutup karyanya beliau menyatakan bahwa tempoh penulisan karya ini bermula pada bulan Dzulhijjah tahun 1344H, yaitu bersamaan bulan Januari tahun 1925M. Kemudian berjaya diselesaikan pada 1 Rabi’ulawal tahun 1346H bersamaan 1 Oktober 1927M. Manuskrip tulisan tangan karya tafsir ini masih wujud tersimpan di rumah warisnya, Haji Abdul Hamid Bin Haji Ahmad di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.

Tafsîr Nûr al-Ihsân dihasilkan oleh pengarangnya dalam empat jilid dan setiap jilid dibagi mengandungi satu kumpulan yang disusun dari surat-surat al-Qur`an. Jilid pertama merangkumi Surat al-Fâtihah hingga Surat al-Mâidah. Jilid kedua merangkumi Surat al-An’aâm hingga Surat Hûd. Jilid ketiga merangkumi Surat al-Kahfi hingga Surat al-Zumar. Dan jilid keempat merangkumi Surat al-Mu’min hingga Surat al-Nâs.

Tafsîr Nûr al-Ihsân telah dimulakan cetakan pertamanya pada tahun 1934M di Mekah dan cetakan keduanya pada tahun 1936M di Pulau Pinang (Penang) selepas diberi keizinan oleh pihak kerajaan Kedah. Cetakan ketiganya pada tahun 1391H bersamaan tahun 1970M oleh Percetakan al-Maarif Sdn. Bhd. Dan jilid pertamanya dicetak bersama Maktabah wa Maṯba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awlâdihi. Sementara itu, terdapat juga cetakan yang diterbitkan oleh Dar al-Iḫya al-Kutub al-‘Arabiyah, Mesir pada tahun 1976M. Setiap percetakan Tafsîr Nûr al-Ihsân harus mendapat keizinan daripada kerabat Tuan Haji Muhammad Said dan semua perusahaan tersebut di atas telah mendapat keizinan tersebut. Tanda keizinan tersebut bisa dilihat pada setiap halaman (i) pada setiap jilid karya tersebut.

Cetakan pertama dan kedua karya ini mendapat sambutan dan mendapat perhatian bagi mereka yang ingin mendalami tafsir Al-Quran bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam di Tanah Melayu malah ianya juga dipelajari oleh umat Islam di negara jiran iaitu Thailand. Oleh karena itu, banyak perusahaan percetakan yang berusaha menerbitkan cetakan ketiga karya tersebut untuk memenuhi permintaan yang banyak, dan masih boleh ditemukan lagi cetakan daripada beberapa perusahaan penerbitan lain di Thailand yang seperti Maṯba’ah Bin Halâbi, Pattani dalam empat jilid.

Sependek kajian penulis, Tafsîr Nûr al-Ihsân masih diajar di pondok-pondok pengajian Islam dan institut-institut pengajian Islam di Malaysia dan Thailand sehingga kini, terutama di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pattani. Terdapat juga masjid-masjid yang menjadikan tafsir ini salah satu kitab tafsir yang diajar kepada jemaah yang hadir dalam rutin kuliah mingguan.


Sumber Penafsiran

Mengenai sumber penafsiran Tafsîr Nûr al-Ihsân dapat dinyatakan bahwa karya tersebut termasuk di antara tafsir bi al-ra’yi. Dikatakan demikian karena Tuan Haji Muhammad Said menukil banyak penafsiran yang terdapat daripada karya-karya tafsir ulama’ Timur Tengah yang menggunakan metode tafsir bi al-ra’yi seperti Tafsîr al-Jalâlain. Ia dapat diketahui dengan melakukan kajian terhadap beberapa ayat-ayat al-Qur’an yang ditafsir. Maka, penulis menyajikan beberapa ayat yang boleh dijadikan contoh untuk membuktikan keberadaan metode sumber tersebut, di antaranya ketika Tuan Haji Muhammad Said menafsirkan ayat 1 dari Surat al-Buruj:


(وَالسَّمَاءِ ذَاتِ البُرُوجِ)


“Demi langit yang empunya buruj yaitu tempat duduk berjalan bintang dua belas yang dinazam oleh setengah fudhala’:


حمل الثورة جوزة السرطان ورعى الليث سنبل الميزان


ورمى عقرب القـوس الجدي نزح الدلو بركـة الحيتـان


Yaitu حمل الثورة جوزة السرطان أسد سنبلة ميزان عقرب قوس جدي دلو dan حوت yaitu manzilah bagi bintang tujuh mula langit ketujuh sudah langit pertama nazam setengah fudhala’:


زحل شري مريخه من شمسه فتزاهرت لعطارد الأقمار


Maka Zuhal langit ketujuh baginya Jūdi dan Dalw al-Musytari langit keenam baginya Qus dan Ḫut al-Marikh langit kelima bagi Ḫaml dan ‘Aqrab matahari keempat baginya Asad al-Zahrah ketiga baginya Tsūr dan dan Mîzan Utharid yang kedua baginya Jauzâ’ dan Sunbulah bulan yang pertama baginya Sarathân.


Penafsiran ini terdapat di dalam Tafsîr al-Jalâlain, bahawa al-Suyûṯi telah menyebut nama-nama bintang tersebut satu-persatu. Persamaan ini tidak menjadi suatu yang menimbulkan syak lagi jika dijelaskan bahawa salah satu referensi Tuan Haji Muhammad Said untuk mengarang Tâfsîr Nûr al-Ihsân adalah Tafsîr al-Jalâlain.


Dan contoh kedua adalah penafsiran beliau terhadap Surat al-Infiṯar ayat 1 dan 2:


(إِذَا السَّمَاءُ انفَطَرَت)


“Apabila langit itu pecah ia bagi turun malaikat keliling ahli Mahsyar.


(وَإذَا الكَوَاكِبُ انتَثَرَت)


Dan apabila segala bintang-bintang itu luruh jatuh ia maka ini segala ayat itu menyatakan runtuh alam maka langit seperti atap dan bumi seperti bina maka orang yang runtuh rumah dimula atap dahulu maka lazim apabila runtuh atap luruh segala bintang padanya kemudian runtuh bina bumi dan keluar segala yang ditanam dalam bumi daripada manusia dan lainnya.


Tuan Haji Muhammad Said juga mengutip pendapat dari para ulama. Beliau meletakkannya secara langsung di dalam yang ditafsirkan tanpa menggunakan sebarang tanda, akan tetapi kadang-kadang beliau menyatakan bahawa sesuatu penafsirannya itu diambil daripada cendikiawan tertentu. Untuk menjelaskan lagi perkara di atas, penulis menyajikan penafsiran beliau yang dikutip dari tafsiran para ulama’ Salaf dan takwilan ulama’ Khalaf pada tafsiran ayat mutasyâbihât tanpa menyatakan kutipan dari para ulama, hanya menyebutnya dan tidak mengurainya secara panjang seperti penafsiran beliau terhadap ayat 10 Surat al-Fath:


(يَدُ اللهِ فَوقَ أيدِيهِم)


“Tangan Allah atas tangan mereka itu ia memandang atas mubaya’ah mereka itu dibalas atasnya dengan syurga atau kekuatan Allah dan pertolongannya dan nikmatnya atas mereka itu”.


Namun pada beberapa ayat lain beliau menyatakan daripada para ulama seperti penafsiran beliau terhadap ayat 5 dari Surat Ṯaha:


(الرَحمَنُ عَلَى العَرْشِ استَوَى)


“Ialah Tuhan al-Rahman itu atas Arasy bersamaan yang layak denganNya maka Arasy pada lughah itu tempat duduk raja. Ini jalan Salaf. Maka jalan Khalaf makna ‘استَوَى’ itu memerintah”.


Beliau amat berhati-hati ketika melakukan penafsiran terhadap ayat-ayat Muqaṯṯa‘ah sehingga beliau tidak pernah mentakwilkannya walaupun satu abjad darinya. Sungguh ulama` mengizinkan agar memberi suatu takwil yang berpadanan terhadap Muqaṯṯa‘ah, asal tidak menyalahi dengan sesuatu penetapan al-Qur`an dan Sunnah. Untuk membuktikannya pernyataan ini, penulis mengemukakan satu contoh daripada penafsiran tersebut yaitu penafsiran beliau terhadap ayat Muqaṯṯa‘ah daripada ayat 1 surah Luqman:


(لِسمِ اللهِ الرَّحمَنِ الرَّحِيمِ آلم)


“Allah terlebih ketahui kehendakNya”.


Demikian perkataan beliau ketika menafsirkan ayat-ayat Muqaṯṯa‘ah. Beliau juga menggunakan lafaz-lafaz seumpamanya seperti Allahu a’lam dan Allahu a’lam dengan kehendakNya.


Tuan Haji Muhammad Said menguatkan lagi penafsirannya terhadap sebahagian ayat dengan menyebut dalil-dalil dari ayat-ayat al-Qur`an, atau hadits-hadits, atau pendapat para Sahabat r.a seperti ‘Ali Bin Abî Ṯalib, Ibn ‘Abbâs, dan Abû Mûsa al-‘Asy’ari dan pendapat para Tabi’in. Beliau tidak meletak suatu tanda kurungan yang menandakan bahawa kata-kata tersebut merupakan dalil yang menjelaskan ayat tersebut, bahkan beliau mencantumkan dalil-dalil tersebut langsung di dalam penafsirannya. Di antara contoh-contoh yang boleh dilihat padanya penyajian metode penyebutan dalil tersebut ialah seperti berikut:


Dalil daripada ayat-ayat al-Qur`an, yaitu Surat al-Ahzab ayat 7:

(وَأَخَذنَا مِنهُم مِيثَاقًا غَلِيظًا)


“Dan Kami ambil daripada mereka itu perjanjian yang kuat teguh dengan menyempurnakan dengan barang yang disuruh daripada sembah Allah dan seru manusia kepadanya maka makna ‘mithaq’ bersumpah dengan nama Allah maka ‘mithaq’ pertama pada (ألست بربكم قالوا بلى) dan ‘mithaq’ yang kemudian ambil daripada anbiya’ suruh sembah Allah dan seru manusia kepadanya dan suruh menyata pada segala masing-masing umat keadaan Nabi Muhammad Rasul Allah dan suruh Nabi Muhammad menyata pada umatnya dengan tiada nabi kemudiannya maka ambil ‘mithaq’ itu”.


Dalil dari hadits-hadits:

(فَلَا جُنَاحَ عَلَيهِ أن يَطَّوَّفَ بِـهِمَا)


“Maka tiada mengapa ke atasnya bahwa tawaf ia dengan keduanya dengan Sa’i antara keduanya tujuh kali turun ini ayat tatkala benci orang muslimin akan demikian itu Sa’i kerana orang jahiliyah sa’i mereka itu dengan keduanya dan atas kedua itu dua berhala sapu mereka itu akan keduanya dengan tangan kerana mengambil berkat kata ‘Abdullah Ibn ‘Abbâs bahawa Sa’i bukan fardhu dan kata Imam Syâfie dan lainnya Sa’i itu rukun Haji dan menyata Rasulullah akan rukunnya dengan sabdanya bahawasanya Allah Taala telah fardhu atas kamu itu Sa’i. Dan lagi sabdanya: “ابدأوا بما بدأ الله به” – mula oleh kamu dengan barang yang memulai oleh Allah dengannya yakni Shofa”.


Dalil dari pendapat para Sahabat dan Tabi’in:

(وَمِنكُم مَن يُرَدُّ إلَى أَرذَلِ العُمُرِ)


“Dan setengah dari kamu itu mereka yang dikembali kepada sehina-hina umur tua dan nyanyuk kata ‘Ali Bin Abi Ṯalib r.a yaitu tujuh puluh lima tahun dan kata ‘qîl’-قيل- lapan puluh tahun dan kata Qatâdah sembilan puluh tahun”.


Adapun karya-karya ulama yang dijadikan rujukan oleh Tuan Haji Muhammad Said adalah sebagaimana beliau sendiri menyatakan di dalam pendahuluan Tafsîr Nûr al-Ihsân, bahawa di antara karya-karya rujukan ialah Tafsîr Jalâlain, Tafsîr al-Baidhâwi, dan Tafsîr al-Jamal. Beliau turut menyatakan bahawa ada beberapa beberapa karya lain yang dijadikan rujukan tetapi tidak disebut nama karya-karya tersebut, akan tetapi beliau lebih banyak merujuk kepada Tafsîr al-Jalâlain dibandingkan dengan Tafsîr al-Baidhâwi, dan Tafsîr al-Jamal dan lain-lainnya. Untuk membuktikan dan menjelaskan lagi bahawa karya-karya dikutip oleh pengarang Tafsîr Nûr al-Ihsân dan dimasuki dalam karya, penulis mengemukakan satu contoh perbandingan penafsiran di antara karya-karya ulama’ tersebut dan Tafsîr Nûr al-Ihsân bagi setiap satu karya yang tersebut.


1. Tafsîr Jalâlain:


Ketika menafsirkan surat Hûd ayat 1, Tuan Haji Muhammad Said mengatakan seperti berikut:


(كِتَابٌ أُحكِمَت آيَاتُـهُ ثُمَّ فَصِّلَت مِن حَكِيمٍ خَبِيرٍ)


Dalam Tafsîr Nûr al-Ihsân:


“Ini Qur`an kitab yang telah ditetap segala ayatnya tiada berubah dengan ‘ajib nazham dan elok makna, kemudian ditafsil segala hukum-hukum dan cerita-cerita nabi-nabi dan pengajaran yang turun daripada Allah Tuhan yang Hakim lagi amat Mengetahui.


Dalam Jalâlain dikatakan: “Ini Qur`an kitab yang telah ditetap segala ayatnya (dengan keindahan susunan dan kecantikan makna) kemudian diperinci (diterangkan dengan hukum-hukum, kisah-kisah, dan nasihat-nasihat) daripada Tuhan yang amat Bijaksana dan amat Mengetahui (iaitu Allah)”.


2. Tafsîr al-Baidhâwi:


Beliau berkata ketika menafsirkan surat al-Anbiyâ’ ayat 87;


(وَذا النُّونِ إذ ذَهَبَ مُغَاضِبًا)


Dalam Tafsîr Nûr al-Ihsân: “dan sebut olehmu akan nabi yang empunya ikan ketika lari ia hal penyebal pada kaumnya yaitu Yunus bin Mattê marah ia kepada kaumnya tiada mau beriman dengannya maka janji ia akan mereka itu turun azab maka azab tiada turun lari pergi maka dibuang undi kena atas Yunus maka dibuang dalam laut maka telan akan dia oleh ikan kerana ia pergi dengan tiada izin Allah duduk dalam perut ikan empat puluh hari atau tujuh atau tiga hari atau empat jam diwahi Allah kepada ikan jangan engkau makan dagingnya dan jangan engkau pecah tulangnya bukan rezeki engkau Aku jadi penjara sahaja.


Dalam al-Baidhâwi dikatakan: “nabi yang mempunyai ikan (yang mempunyai ikan iaitu Yunus bin Mattê ) ketika dia pergi dalam keadaan marah (terhadap kaumnya ketika berputus asa selepas lama menyeru mereka, teruk perbuatan jahat mereka, dan berterusan mereka melakukan perbuatan jahat dalam keadaan Yunus meninggalkan mereka, sebelum dia diperintah berbuat demikian dan sebelum menjanjikan mereka dengan azab maka ia tidak pergi kepada kaumnya untuk menjanjikan taubat untuk mereka sedang dia tidak mengetahui keadaan sebenar maka dia mengira bahawa dia telah berbohong terhadap mereka dan marah pembohongan itu, dan ia –perkataan مغاضبا- untuk menunjuk superlatif atau karena ia membuatkan mereka marah dengan meninggalkan mereka karena mereka takut datang azab ketika itu, dan ia boleh dibaca –مُغضَبًا- “.


3. Tafsîr al-Jamal:


Beliau berkata ketika menafsirkan surat al-Baqarah ayat 65, yaitu ketika menceritakan kisah Bani Isra`il yang menangkap pada hari Sabtu:


(وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذِينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنَا لَهُم كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ)


“Demi Allah sungguh telah kamu ketahui akan segala mereka yang melampaui had hukum daripada kamu pada mengambil ikan hari Sabtu dan sungguh Kami telah tegahkan mereka itu daripadanya dan mereka itu ahli Ailah tepi laut Syam zaman Nabi Dawud tujuh puluh ribu tiga firqah satu firqah menahan diri dari mengambil ikan dan tegah satu firqah menahan diri sahaja tiada tegah satu firqah ambil ikan”.


Dalam al-Jamal dikatakan tentang riwayat kisah di atas: “….. dan kisah ini terjadi pada zaman Nabi Dawud a.s di sebuah kampung di negeri Ailah, maka ketika mereka melakukan helah dan menangkap ikan, mereka menjadi tiga kelompok dan dahulunya mereka berjumlah kurang lebih tujuh puluh ribu kelompok, satu kelompok menahan diri dan menegah, satu kelompok menahan diri dan tidak menegah, dan satu kelompok lagi tenggelam dalam dosa dan melanggar perkara haram…”.


Sebagaimana dikatakan oleh Tuan Haji Muhammad Said bahawa terdapat karya-karya yang turut dikutip dan dimasukkan ke dalam karya, penulis tidak menemukan beberapa penafsiran yang dikutip daripada semua karya yang tidak tersebut nama-namanya melainkan Tafsir al-Khâzin. Maka untuk membuktikan keberadaan kutipan beliau daripada karya tersebut, penulis mengemukakan satu contoh penafsiran dalam Tafsîr Nûr al-Ihsân yang dikutip dari Tafsîr al-Khâzin yaitu berkata Tuan Haji Muhammad Said ketika menafsirkan surat al-Fajr ayat 8, iaitu firman Allah Taala:


“التِي لَم يُخلَق مِثلُهَا فِي البِلَاد”


Dalam ayat tersebut, beliau meriwayatkan satu atsâr dari Isrâiliyyât yang terdapat dalam Tafsir al-Khâzin yaitu:


“………riwayat Wahab Bin Munabbih daripada ‘Abdullah Bin Qilabah ia keluar kepada padang negeri Adn cari untanya hilang tiba-tiba terpandang kepada satu kampung yang ada rumah mahligai kota di keliling kota beberapa banyak rumah yang sangat besar dibina dengan batu emas dan perak dan batu lu’lu’ dan yaqut dihampar tanahnya dengan lu’lu’ dan kasturi za’faran dan segala pokok kayunya berbuah dan sungai mengalir air dan ambil ia sedikit lu’lu’ kasturi za’faran keluar balik ke Yaman dan dizahir barang yang padanya dan cerita khabarannya sampai kepada Mu’awiyah disuruh panggil datang ia cerita barang yang dilihat maka suruh Mu’awiyah panggil Ka’ab al-Ahbâr maka kata Mu’awiyah Ya Aba al-Haq adakah dalam dunia rumah daripada emas perak kata Ka’ab al- Ahbâr bahkan yaitu Iram Zat al-‘Imâd bina akan dia Syidad Bin ‘Aâd tatkala kehendak Syidad binanya disuruh empat ratus tukang tiap-tiap seorang seribu kawannya maka keluar tukang-tukang itu berjalan cari tempat seperti kehendak Syidad maka bertemu mereka itu tempat tanah tinggi keluar mata air daripadanya dan tanah lapang maka kata masing-masing itulah yang dikehendaki oleh raja itu maka bina mereka itu lamanya tiga ratus tahun umur Syidad sembilan ratus tahun maka tatkala sudah bina datang berkhabar kepadanya maka disuruh dibina kota itu seribu mahligai tempat wazirnya seribu orang maka dibina menurut kehendaknya maka tatkala siap suruh Syidad akan wazir-wazirnya seribu itu bersiap berpindah kepada Iram Zat al-‘Imâd maka bersiap mereka itu lama sepuluh tahun kemudian berjalan pergi kepadanya maka tatkala sampai tempat sehari semalam lagi dengan Iram Zat al-‘Imâd datang halilintar dari langit membinasa mereka itu sekalian dan kata Ka’ab lagi masuk seorang lelaki masa engkau cari untanya tubuh merah pendek atas dahinya tahi lalat dan ditengkuknya tahi lalat kemudian berpaling lihat ‘Abdullah Bin Qilabah maka kata ia ini lelaki.






AI Website Creator